DEFINISI PERADABAN DARI SUDUT BAHASA

Pengenalan

Setiap bahasa di dunia ini mempunyai tafsiran masing-masing bagi mendefinisikan maksud peradaban. Bukan sahaja ejaan dan sebutan yang berbeza, makna dan konsep peradaban turut berbeza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Misalnya, istilah kulture dalam bahasa Jerman membawa makna peradaban, manakala istilah culture dalam bahasa Inggeris merujuk kepada kebudayaan. Keadaan seperti ini menunjukkan bahawa setiap bahasa mempunyai persepsi tersendiri terhadap istilah peradaban.


Terminologi peradaban atau kadangkala disebut tamadun dibicara dan dikupas oleh para sarjana dari pelbagai disiplin mengikut pandangan masing-masing. Biarpun begitu, kerana berlainan latar belakang ilmu dan disiplin para sarjana, menyebabkan wujudnya penafsiran yang berbeza.

Fokus utama bab ini ialah untuk memberi gambaran dan seterusnya menjelaskan konsep peradaban atau tamadun berdasarkan aspek bahasa (semantik) dan pandangan para sarjana. Ciri-ciri yang ada pada sesebuah peradaban akan disimpulkan pada akhir bab ini. 


Konsep Peradaban Dari Sudut Bahasa


Dalam bahasa Inggeris, istilah civilizations paling meluas digunakan bagi merujuk kepada istilah peradaban atau tamadun. Perkataan civilize merujuk kepada memperbaiki tingkahlaku yang kasar atau kurang sopan, menjinakkan (to tame) dan menyelaraskan mengikut keperluan masyarakat. Ringkasnya civilized bolehlah dikatakan sebagai keluar daripada kehidupan primitif atau barbarian kepada kehidupan yang mempunyai kehalusan akal budi dan kesopanan.[1] Nampaknya aspek tingkahlaku atau moral lebih ditekankan dalam definisi civilizations ini.



Istilah civilizations dalam bahasa Inggeris itu dikatakan lahir daripada perkataan Latin iaitu civitas yang membawa maksud city atau bandar. Perkataan peradaban lebih sinonim dengan bandar atas alasan tiap-tiap tamadun yang ternama memiliki bandar-bandar yang besar dan ciri-ciri sesebuah peradaban mudah ditemui di kawasan bandar.[2]



Dalam bahasa Greek pula, peradaban merujuk kepada perkataan kei, nomos dan keimelion. Perkataan kei bermaksud terbentang atau terhampar atau sesuatu yang datang kepada kita. Perkataan–perkataan terbitan lain seperti kei tai, kei mai, kesai dan kestai juga mempunyai maksud yang sama. Selain itu kei juga membawa maksud kediaman atau rumah. Tamadun dalam bahasa Greek bermakna sesuatu yang terbentang seperti segulung permaidani yang dihampar.[3] Tempat perlindungan yang selamat boleh dihubungkan dengan adanya undang-undang untuk mencapai keselamatan dan keamanan. Nomos merujuk kepada jalan, method, unsur peraturan atau laluan serta undang-undang yang ditetapkan. Nomos juga merujuk kepada malaikat yang membawa undang-undang yang dihamparkan ke hadapan manusia untuk membawa keamanan dan keselamatan kepada manusia. Keimelion pula bererti khazanah atau harta yang disimpan. Pendek kata, soal penempatan, undang-undang dan harta diberi penekanan bagi menjelaskan maksud peradaban. 



Istilah Kulture digunakan bagi merujuk kepada makna peradaban dalam bahasa Jerman. Istilah tersebut membawa maksud kepada sumbangan manusia dalam pelbagai bidang seperti penghasilan dalam bidang seni, penghasilan buku dan sebagainya yang tidak ada kaitan dengan perkembangan masa. Sarjana seperti Johann Gottfried von Herder pada abad 18 cuba mempertahankan perkataan kulture kerana istilah ini menekankan keunikan budaya bangsa Jerman, dan tidak boleh diadaptasikan dalam bahasa Inggeris daripada Jerman.[4] Hal ini kerana kulture dalam bahasa Inggeris dan Perancis lebih merujuk kepada makna budaya.



Dalam bahasa Arab, beberapa istilah sering digunapakai bagi menjelaskan konsep tamadun. Beberapa istilah seperti madaniah, hadarah dan tamaddana. Perkataan peradaban lahir daripada perkataan maddana yang mempunyai dua pengertian, iaitu merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota, serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Daripada maddana muncul perkataan maddani yang membawa erti pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.[5]



Hadarah pula dikaitkan dengan keadaan kehidupan yang berada pada tahap maju. Lawannya ialah badawah yang bererti mundur. Daripada erti perkataan hadarah ini dapat difahamkan bahawa apa yang kita namakan tamadun itu adalah berasal daripada bandar.[6] Hal ini kerana bandar merupakan tempat yang sesuai untuk melahirkan kemajuan disebabkan di situ terdapat pelbagai benda dan kemudahan yang boleh menjadi asas kepada kelahiran dan peningkatan tamadun. Kehidupan hadarah banyak tertumpu kepada unsur-unsur yang bercorak perdagangan, kemajuan teknologi, dan pengkhususan pekerjaan. Kota-kota dalam bahasa Arab dipanggil mudun yang memiliki ciri-ciri tamadun. 



Perkataan tamadun diambil daripada kata dasar bahasa Arab Tamaddana atau Madana yang mengandungi erti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran. Kamus al-Munjid menjelaskan istilah tamadun adalah terbitan daripada lafaz tamaddana, iaitu fenomena daripada perubahan cara kehidupan daripada corak liar atau nomad kepada kehidupan yang berbentuk maju.[7]



Dari perspektif Islam, peradaban dikaitkan dengan perkataan umran, adab dan dinnun atau dainun. Umran membawa makna harta, kawasan yang didiami, berkembang subur dan maju, perhimpunan, melawat dan hidup berpanjangan . Istilah adab pula merujuk kepada jemputan ke sesuatu majlis. Adbun pula bermakna memperelok tingkah laku yang menunjukkan pemikiran dan roh. Ta’dib adalah proses membentuk disiplin yang baik. Perkataan dainun membawa maksud kepatuhan, penyerahan; cara hidup, pinjaman; hakim atau pemerintah; madinah (sebuah bandar yang ditadbir oleh hakim atau pemerintah).[8]



Dalam bahasa China, peradaban disebut wen ming yang bererti cerah, terang atau bercahaya yang merujuk kepada peradaban. Wen merujuk kepada keindahan, kelembutan, keelokan atau budi pekerti. Ming pula merujuk kepada cahaya atau kecerahan. Istilah tersebut juga dikaitkan dengan amalan tradisi yang perlu dipraktikkan, pemikiran yang bijaksana, pemahaman yang jelas dan bertutur secara terbuka.[9] Daripada definisi ini dapat dikatakan bahawa bahasa China memberi penekanan kepada unsur-unsur yang baik, menghormati amalan tradisi dan bertindak secara tradisional.


Dalam bahasa Tamil, peradaban dikaitkan dengan istilah nakarikam. Nakar bermaksud kota atau bandar, manakala ikam pula membawa erti pembentukan. Nakar juga merupakan simbol tentang penjelmaan Tuhan Siva, iaitu tuhan yang menciptakan bandar.[10]


Dari sudut morfologi bahasa Melayu, istilah ‘tamadun’ berkemungkinan besar pada peringkat awal penggunaannya dikekalkan sebutan asalnya dalam bahasa Arab iaitu “tamaddun” yang dikenali sebagai peminjam bulat-bulat. Akan tetapi, pada peringkat selanjutnya berlaku perubahan sebutan dengan pengguguran huruf ‘d’ yang kedua. Mengikut Kamus Dewan, peradaban merujuk kepada keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dan lain-lain), negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, budaya atau cara hidup orang-orang 

Jelaslah tafsiran terhadap istilah peradaban dari sudut bahasa mempunyai pelbagai maksud dan pengertian tersendiri. Rata-rata tafsiran yang diberikan mencakupi aspek material dan spritual. 

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :

0 Response to "DEFINISI PERADABAN DARI SUDUT BAHASA "

Post a Comment