Konsep Peradaban Pada Pandangan Sarjana
Para sarjana telah memilih tema tertentu bagi mengupas maksud atau konsep peradaban. Sarjana-sarjana seperti Said Hawa, Abu Bakar Hamzah, dan Hans W. Gatzle et. al. telah menonjolkan tema pencapaian dalam bidang material dan spritual bagi menjelaskan konsep peradaban. Said Hawa membahagikan tamadun itu kepada dua iaitu tamadun Islam dan tamadun jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam manakala tamadun jahiliyah ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral.[1] Abu Bakar Hamzah pula menitikberatkan soal pembangunan yang sepadu antara dua unsur iaitu unsur kerohanian dan unsur kebendaan. Pembangunan itu lahir seiring, sejalan dan serentak dengan perkembangan kehidupan manusia, sama ada dalam bentuk pemikiran atau kebendaan.[2] Manakala Hans W. Gatzle et. al. menegaskan bahawa peradaban akan wujud apabila adanya kerjasama antara sesama manusia bagi memenuhi keperluan material dan spiritual.[3]
Syed Naquib Al-Attas dan Ahmad Bek Kamal memilih tema tingkahlaku dalam mendefinisikan peradaban. Menurut Syed Naquib Al-Attas, peradaban itu ialah keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.[4] Ahmad Bek Kamal menjelaskan tamadun dengan menekan aspek daya usaha ke arah mengeluarkan masyarakat daripada suasana hidup liar atau nomad kepada hidup berpendidikan dan pembentukan moral tanpa mengira sama ada di Timur mahupun di Barat.[5]
Oleh kerana konsep peradaban begitu rumit untuk didefinisikan, sarjana-sarjana seperti Farmer, Buchanan dan sarjana tempatan, Wan Hashim Wan Teh terpaksa mengemukakan pencapaian sesebuah masyarakat dalam pelbagai bidang untuk merumuskan maksud peradaban.
Dalam bukunya Comparative History of Civilizations in Asia, Edward L. Farmer mendefinisikan bahawa peradaban adalah entiti atau unit budaya yang terbesar dalam organisasi manusia yang terdiri daripada perkongsian norma-norma sosial, tradisi dan institusi-institusi yang berterusan. Beliau kemudiannya mengenal pasti beberapa ciri yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat bertamadun seperti sistem tulisan, kerajaan dan pentadbiran yang berkesan, agama dan kepercayaan, organisasi sosial, perbandaran, teknologi dan pengkhususan.
R.A. Buchanan pula menjelaskan bahawa masyarakat bertamadun perlu memiliki institusi-institusi yang kompleks, melibatkan tahap pengkhususan yang tinggi di kalangan anggota masyarakat, wujudnya stratifikasi sosial, tahap penguasaan matematik dan teknologi yang tinggi. Menurutnya lagi, masyarakat bertamadun juga seharusnya mempunyai pengeluaran barangan melebihi keperluan tempatan, kerancakan aktiviti perdagangan, wujudnya kesepaduan politik dan budaya, dan masyarakatnya memiliki ciri-ciri moden dan berdaya saing.[6]
Bagi ahli antropologi tempatan, Wan Hashim Wan Teh menegaskan bahawa konsep tamadun dalam sains sosial merujuk kepada pencapaian tinggi pemikiran ahli masyarakatnya dalam aspek budaya dan kesusasteraan, agama dan moral, pelbagai aspek kesenian, tatasusila, serta organisasi politik atau kemampuan mewujud dan mengurus sebuah kerajaan yang demokratis.[7] Bagaimanapun, penggunaan perkataan demokratis oleh Wan Hashim boleh dipersoalkan. Apakah ukuran ‘demokratis’ yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk menentukan sesebuah kerajaan atau masyarakat itu bertamadun atau tidak? Bagaimanakah pula jika kerajaan bertamadun itu mengamalkan unsur-unsur pemerintahan yang tidak demokratis?
Bagi memudahkan khalayak pembaca memahami dengan jelas konsep peradaban, ada di kalangan sarjana cuba membandingkan istilah peradaban dengan istilah-istilah yang hampir sama maknanya dengan peradaban. Sarjana-sarjana yang dimaksudkan ialah Spengler, Max Weber, Quigly, Said Hawa, Sayyid Qutb dan Ahmad Syalaby.
Ahli falsafah Jerman, Oswald Spengler membezakan istilah peradaban dengan kultur. Menurutnya apabila masyarakat atau empire berada pada zaman kegemilangan, ciri-ciri sosial dan intelektual masyarakat terserlah, beliau menganggapnya sebagai kultur. Apabila kerajaan itu melalui zaman kegemilangan, masyarakat itu tidak lagi progresif, tidak berubah dan tidak aktif dikenali sebagai tamadun. Weber pula membahagikan kebudayaan itu kepada dua iaitu kebudayaan spritual dan kebudayaan kebendaan. Kebudayaan kebendaan adalah peradaban. Begitu juga dengan Said Hawa dalam bukunya, Al-Islam, mengkategorikan tamadun kepada dua iaitu tamadun Islam dan tamadun jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam. Tamadun Jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral.[8]
Satu pembahagian yang teliti dan menarik dikemukakan oleh Carrol Quigley yang cuba membezakan konsep peradaban dengan konsep kumpulan, masyarakat dan kumpulan besar. Anggota dalam kumpulan besar (collections), boleh berkumpul bersama di sesuatu tempat pada bila-bila masa namun mereka tidak mempunyai hubungan yang akrab. Anggota dalam kumpulan (groups) mengenali antara satu sama lain dan mereka dapat membezakan antara satu sama lain seperti warga kampus dan ahli dalam sesebuah parti politik. Apabila seseorang memegang nilai-nilai bersama, maka lahirlah budaya. Menurut Quigley, masyarakat itu terbahagi kepada dua iaitu masyarakat parasitic dan masyarakat producing. Masyarakat parasitic merupakan masyarakat sara diri seperti orang Eskimo manakala masyarakat producing melaksanakan aktiviti pertanian yang akhirnya mencipta pelbagai teknik atau inovasi seperti masyarakat China. Jadi masyarakat berperadaban menurut Quigley ialah masyarakat producing yang mempunyai sistem tulisan dan menjalani kehidupan bandar seperti masyarakat China dan Aztec. Rajah di bawah menunjukkan kategori masyarakat menurut Quigley.
Aggregates of Person
A. Collections (kumpulan besar)
B. Groups (kumpulan)
C. Societies (masyarakat)
1.Parasitic societies
2Producing societies
a) Simple tribes or bands
b) Civilizations.[9]
Ada sarjana Islam yang menjangkau definisi peradaban yang dikupas oleh sarjana-sarjana Barat. Peradaban yang difahami oleh Saiyyid Qutb bukan kemajuan kebendaan tetapi peradaban tauhid yang dilahirkan oleh sistem Islam yang menyempurnakan manusia dengan kemanusiannya, menimbulkan makna sebenar ubudiyah kepada Allah dan keseimbangan yang menyeluruh dalam hidup individu dan masyarakat.[10] Ahmad Syalaby pula mengkategorikan peradaban kepada dua jenis iaitu peradaban teori dan peradaban ekperimen. Peradaban teori ialah peradaban tulen yang menjadikan Islam sebagai sumbernya yang tunggal. Peradaban ini dikatakan lahir dalam perkara-perkara yang tidak terdaya dicapai oleh fikiran manusia seperti di dalam sistem politik, perundangan dan moral. Manusia tidak terdaya mencipta sistem politik yang sihat, tidak terdaya mengendalikan isu-isu sosial yang menjadi perselisihan di kalangan manusia sejagat. Peradaban ekperimen ialah kemajuan yang boleh dicapai oleh manusia dalam bidang-bidang matematik, perubatan, astronomi dan sebagainya.[11]
Ada pula sarjana yang mendefinisikan peradaban berdasarkan sifat-sifat fizikal peradaban itu sendiri. Syirazi mendefinisikan tamadun sebagai sesuatu kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintahan yang menjurus kepada perbahasan tentang sejarah keilmuan, kemajuan industri dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.[12] Ahli antropologi, Robert Redfield mengibaratkan tamadun sebagai beberapa puncak pencapaian sama seperti puncak-puncak gunung di permukaan bumi.
Konsep peradaban begitu sinonim dengan perkembangan bandar. Lantaran itu, Gordon Childe cuba mengaitkan peradaban dengan konsep urban revolution. Menurutnya, peradaban lahir apabila manusia menetap dalam kumpulan-kumpulan besar di bandar dan mengamalkan pengkhususan dalam pekerjaan, mencipta barang baru yang berkualiti yang akhirnya membawa kemajuan dalam bidang-bidang lain seperti intelektual dan kesenian.[13] Begitu juga dengan Abu Nasir al-Farabi dan Jurji Zaidan. Abu Nasir al-Farabi menganggap peradaban sebagai pencapaian umat Islam di kota yang berasaskan wahyu iaitu akidah, syarak dan akhlak. Jurji Zaidan pula mendefinisikan peradaban sebagai pencapaian umat Islam yang berpusat di kota dalam bidang kerohanian dan kebendaan berasaskan agama.[14]
0 Response to "Konsep Peradaban Pada Pandangan Sarjana"
Post a Comment