Rawatan Kemoterapi dan Radioterapi
Laman web ini akan memaparkan kepada anda mengenai kaedah-kaedah rawatan kanser wanita iaitu rawatan radioterapi dan kemoterapi.Rawatan Kemoterapi dan Radioterapi adalah dua kaedah rawatan kanser wanita.
Rawatan Kemoterapi
Rawatan kemoterapi adalah sejenis rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan yang dinamakan ubat antineoplastik. Terdapat banyak jenis ubat antineoplastik. Setiap kumpulan ubat antineoplastik mempunyai tindakbalas yang berbeza dan digunakan ke atas jenis-jenis kanser tertentu. Ubat antineoplastik diberikan samada di dalam bentuk satu jenis ubat ataupun gabungan beberapa jenis ubat. Ubat antineoplastik diberikan dalam bentuk makan, suntikan intravena, suntikan dalam otot ataupun dimasukkan ke dalam rongga badan. Ubat antineoplastik yang diberikan akan masuk ke dalam aliran darah dan tersebar luas ke seluruh badan. Tujuan rawatan kemoterapi adalah :
a. Rawatan utama (contoh : rawatan kanser koriokarsinoma)
b. Kemoterapi adjuvan bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan utama. Contoh : rawatan kemoterapi selepas pembedahan kanser ovari.
c.Kemoterapi neoadjuvan diberikan sebelum rawatan utama. Tujuan kemoterapi diberikan adalah untuk mengecilkan saiz kanser bagi memudahkan rawatan utama iaitu pembedahan.
d. Kemoterapi paliatif diberikan untuk pesakit yang menghidap kanser yang tidak ada harapan untuk sembuh. Ubat yang diberikan adalah untuk mengurangkan penderitaan pesakit dan memulihkan kualiti hidup mereka.
Setiap pusingan rawatan kemoterapi dinamakan satu kitaran (one cycle). Setiap kali rawatan diberikan boleh memakan masa dari beberapa jam sehingga beberapa hari. Jangkamasa rawatan di antara satu rawatan dengan rawatan selanjutnya selalunya selama 21 hari. Rawatan kemoterapi boleh juga diberikan sebagai rawatan pesakit luar.
Rawatan Radioterapi
Rawatan radioterapi adalah juga salah satu jenis rawatan kanser yang sering diberikan ke atas pesakit kanser. Berbeza dengan rawatan kemoterapi, rawatan radioterapi adalah rawatan setempat, ia hanya berkesan merawat kawasan di mana radioterapi diberikan. Rawatan radioterapi menggunakan sinar-x berkuasa tinggi ataupun sinar Gamma untuk membunuh sel-sel kanser. Seperti juga rawatan kemoterapi, radioterapi juga mempunyai 4 tujuan iaitu (a) Rawatan utama : contohnya rawatan radioterapi untuk kanser servik peringkat 2B ke atas (b) Radioterapi adjuvan , contoh : Rawatan radioterapi selepas pembedahan histerektomi untuk kanser rahim (c) Radioterapi neoadjuvan dan (c) Radioterapi paliatif.
Terdapat 2 jenis rawatan radioterapi iaitu : (a) External beam radiotherapy (EBRT) dan (b) Brakiterapi (Brachytherapy). EBRT menggunakan sinar-x berkuasa tinggi yang dipancarkan oleh mesin yang dinamakan linear accelarator. EBRT diberikan 5 kali seminggu sebanyak 20-25 kali. Setiap kali rawatan dinamakan satu fraksi. Brakiterapi pula adalah menggunakan sinar-Gamma yang dikeluarkan oleh bahan radioaktif. Brakiterapi diberikan sebanyak 2-10 fraksi selama 1-2 minggu. EBRT akan merawat penyakit kanser pada kawasan asal kanser dan juga sekelilingnya termasuk nodus-nodus limfa yang terdekat. Rawatan Brakiterapi pula menumpukan rawatan ke atas tempat asal kanser. Rawatan radioterapi kadangkala juga diberikan bersama dengan rawatan kemoterapi. Kaedah ini dinamakan Kemoradiasi. Kemoterapi dikatakan akan meningkatkan keberkesanan rawatan radioterapi. Tidak semua pesakit sesuai menjalani rawatan kemoradiasi.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan kemoterapi dan radioterapi sila layari laman web http://drrushdanoor.tripod.com
Jika pembaca ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bagaimana rawatan kemoterapi dan radioterapi diberikan, proses-proses pemberian, jenis-jenis ubat antineoplastik, kesan samping dan bagaimana pesakit menghadapi rawatan-rawatan ini semasa dan selepas rawatan, sila dapatkan buku Kanser Wanita : Pencegahan dan Rawatan yang boleh didapati di kedai buku terdekat ataupun dapatkannya melalui online melalui laman web berikut :
0 Response to " Rawatan Kemoterapi dan Radioterapi "
Post a Comment