GURU SEBAGAI PEMBIMBING
GURU SEBAGAI PEMBIMBING.Guru bukan sahaja memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat dan kemahiran mata pelajaran kepada murid. Malah untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan, guru perlu memastikan bahawa pelajarnya membina kemahiran untuk menangani masalah yang mungkin dihadapi dalam hidupnya. Sekiranya pelajar tidak tahu cara menangani masalah emosi dan masalah peribadinya, maka hal ini akan menjejaskan pembelajarannya. Justeru dia tidak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah.
Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai
pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya,
malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya. Di bawah topik ini kita akan membincangkan
maksud, matlamat dan prinsip-prinsip bimbingan, kemahiran yang digunakan dalam
bimbingan, dan peranan guru dalam membimbing pelajar yang menghadapi masalah
dalam hidupnya. Kita juga akan melihat
jenis-jenis bimbingan yang diberi oleh sekolah kepada pelajar secara ringkas,
serta cara guru dan murid dapat menggunakannya.
Matlamat dan Prinsip-prinsip Bimbingan
Sebelum kita melihat matlamat
dan prinsip-prinsip bimbingan, mari kita teliti maksudnya dahulu. Umumnya, bimbingan merujuk kepada proses
membantu seseorang membina kefahaman dan kemahiran untuk menangani isu dan
cabaran hidup dengan berkesan. Dalam
proses ini, seseorang itu belajar untuk berubah dan membina sikap, nilai dan
kemahiran baru supaya dapat menangani situasi yang sukar dengan lebih
baik. Kita perlu faham bahawa bukan
mudah untuk berubah; ia merupakan proses yang berterusan dan sebagai guru kita
perlu faham bahawa seseorang pelajar itu memerlukan masa untuk berubah.
Oleh itu, walaupun bimbingan ialah satu cara untuk
membantu pelajar, namun ini tidak bermaksud bahawa guru atau kaunselor harus
menyelesaikan masalah pelajar.
Sebaliknya, ini bermaksud guru haruslah mempunyai sikap mengambil berat
dan mendengar supaya pelajar dapat menerokai dan memahami situasi dan dirinya
dengan lebih baik, lalu membina kemahirannya sendiri untuk menangani
masalahnya.
Matlamat utama bimbingan adalah untuk membantu pelajar:
·
Membina
potensinya supaya ia boleh menjadi seorang yang sihat dan seimbang, dengan
kebolehan dan sikap yang akan membantunya menangani cabaran dan kesukaran hidup
dengan berkesan.
·
Membina
kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran membuat keputusan.
·
Membina
kemahiran menguruskan diri seperti menguruskan masa, menguruskan tekanan, dan
menentukan matlamat dan keutamaan untuk dirinya.
·
Memperbaik
hubungan interpersonalnya dan membina kemahiran komunikasi yang baik.
·
Membina
nilai dan sikap yang sihat dan positif terhadap dirinya dan orang lain, untuk
meningkatkan kesedran dirinya serta kefahaman peranan dan tanggung jawabnya
dalam hidaup, dan
·
Membina
kemahiran dan sikap bagi kejayaan akademik dan kerjayanya
Guru dan kaunselor harus memastikan bahawa bimbingan yang
diberi kepada pelajar haruslah sejajar dengan prinsip dan etika tertentu
seperti yang berikut:
·
Bimbingan
adalah bagi semua pelajar, kerana perkembangan diri, dijalankan secara
sistematik dan terancang dan tidak harus ditujukan kepada “pelajar bermasalah”
sahaja.
·
Fokus
utamanya ialah pencegahan – iaitu, untuk mencegah masalah yang serius dalam
kalangan pelajar dengan memberi mereka kemahiran untuk menangani masalah
sementara masalah itu masih boleh dikawal;
·
Ia
harus dijalankan secara kolaborasi dengan kakitangan sekolah yang lain, seperti
guru besar, guru-guru lain, kaunselor, serta dengan kerjasama ibu bapa dan
masyarakat;
·
Pelajar
haruslah menyertai proses bimbingan ini sepenuhnya dan penuh rela, serta
membina matlamat sendiri untuk membantu dirinya – iaitu, faham bahawa ia
bertanggungjawab terhadap perkembangan dirinya serta keputusan yang dibuat
dalam hidupnya pada akhirnya. Guru atau
kaunselor tidak membuat keputusan bagi pelajar;
·
Ia
harus mengikut garis panduan etika bagi bimbingan dan kaunseling, seperti (i) semua keputusan yang dibuat semasa sesi
bimbingan dan kaunseling adalah sulit – iaitu, maklumat mengenai pelajar dan
hal yang dibincangkan semasa sesi tersebut tidak harus didedahkan kepada orang
lain tanpa kebenaran pelajar tersebut; (ii) guru/kaunselor haruslah senantiasa
bertingkah laku secara profesional terhadap pelajar, dan mengelakkan diri
daripada menjalin hubungan yang tidak sihat serta tidak beretika dengan pelajar
tersebut; dan
·
Guru/kaunselor
perlu menggunakakan kemahiran interpersonal
seperti mendengar dengan aktif dan empati, dan mempunyai perasaan prihatin dan
bersikap positif terhadap murid, supaya dapat menjalin hubungan baik dengan
pelajar.
Berhenti
sejenak dan buat refleksi terhadap soalan yang berikut.
|
Sebagai guru, apakah aspek yang paling sukar bagi anda semasa membimbing
pelajar? Apakah halangan yang anda
hadapi dalam situasi sekolah anda untuk memberi bimbingan yang berkesan kepada
pelajar apabila diperlukan oleh mereka?
Saya pasti anda sedar bahawa kebanyakan sekolah mempunyai
guru bimbingan atau kaunselor yang terlatih untuk memberi perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling. Guru perlu
berganding bahu dengan guru bimbingan/kaunselor untuk memastikan bahawa
pelajarnya mendapat bimbingan yang diperlukan.
Antara perkhidmatan
bimbingan yang diberi di sekolah termasuklah:
·
Bimbingan
pendidikan – motivasi pelajar, pilihan mata pelajaran, kemahiran belajar,
persediaan untuk peperiksaan, penempatan untuk pengajian tinggi, dan lain-lain;
·
Sesi
bimbingan kumpulan dan individu;
·
Bimbingan
kerjaya – kecerdasan dan tinjauan minat, bahan rujukan, memilih kerjaya yang
betul, dan lain-lain; dan
·
Bimbingan
perkembangan diri – komunikasi dan kemahiran memimpin, menangani masalah
hubungan dan masalah emosi, kebajikan pelajar, perbincangan dengan ibu bapa.
Apakah caranya anda rasa seorang guru dapat bekerja
secara kolaboratif dengan guru bimbingan dan kaunselor untuk memberi bimbingan
yang sesuai kepada pelajar apabila diperlukan?
Antara tugas guru bekerjasama dengan perkhidmatan bimbingan sekolah
untuk pelajar dapat diterangkan seperti yang berikut:
·
Memberi maklumat serta
maklum balas mengenai keperluan pelajar dan keberkesanan program bimbingan;
·
Memberi bimbingan awal
kepada pelajar dan berbincang tentang keperluannya, sebelum merujukkannya
kepada guru bimbingan atau pegawai lain sekiranya diperlukan bantuan/bimbingan
yang seterusnya.
·
Guru haruslah mengenal
perkhidmatan bimbingan yang diberi oleh pihak sekolah supaya dapat memberi
maklumat yang berkaitan kepada pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan
perkhidmatan yang disediakan.
·
Memberi sokongan dan
bantuan kepada program bimbingan yang ada di sekolah, dengan berperanan sebagai
fasilitator dalam kem motivasi, sebagai mentor bagi program mentor-menti, dan
lain-lain;
- Menyimpan rekod terkini mengenai pelajar
dalam kelasnya, seperti maklumat latar belakang pelajar dan laporan
kemajuan kedatangan dan prestasi akademiknya;
- Membina hubungan baik dengan pelajarnya,
dan mempunyai sikap prihatin dan positif terhadap mereka, supaya guru
lebih peka dan memahami keperluan pelajar; dan
- Membantu pelajar membina nilai dan sikap
positif, dan mereka boleh menyesuaikan diri dan berkomunikasi dengan lebih
berkesan dalam menjalankan aktiviti dalam kelas.
Kemahiran Asas dalam Bimbingan
Sekarang kita akan mempelajari beberapa kemahiran asas
dalam bimbingan. Apakah kemahiran yang
diperlukan oleh seorang guru untuk membimbing pelajar dengan berkesan, untuk
membantu mereka menangani masalah isu-isu dalam hidup mereka? Kita perlu ingat bahawa tugas guru bukanlah
untuk menyelesaikan masalah pelajar, tetapi membimbing bermaksud guru perlu membantu pelajar membina sikap serta
kemahiran yang baik untuk mengatasi masalahnya.
Oleh itu, peranan guru sebagai pembimbing adalah secara tidak langsung,
dan guru perlu membina satu hubungan yang baik dengan pelajarnya supaya ia
bertanggungjawab mengatasi masalahnya, dan mempercayai bahawa gurunya akan membantunya. Kemahiran asas bimbingan akan dibincangkan di
bawah.
0 Response to " GURU SEBAGAI PEMBIMBING"
Post a Comment